About Me

Pesanan Datuk Dr Teo Kok Seong kepada Dong Zong : Di Mana Bumi Dipijak, Di Situ Langit Dijunjung!

Masyarakat Cina khususnya Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) perlu sedar tidak ada negara lain di dunia yang membenarkan kaum Cina terus hidup sebagai 'Cina' kecuali di Malaysia. Sehubungan itu, Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong mahu pertubuhan itu berhenti membuat tuntutan melampau sebaliknya menggunakan pendekatan mengambil kira resam 'di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung'.

Teo Kok Seong
 
Menurut beliau, realiti masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dengan orang Melayu merupakan pemilik kuasa dominan perlu diakui semua pihak termasuk masyarakat Cina. Sehubungan itu, tambahnya, pelantikan menteri tidak fasih berbahasa Mandarin yang dibangkitkan Dong Zong baru-baru ini bukan isu besar.

"Perkara ini melampau sedangkan orang Cina yang tidak fasih bahasa Melayu langsung tidak diungkit. Orang Cina pun tidak pernah baiki keadaan ini. Ini sesuatu yang tidak baik, saya kira sudah waktunya perkara ini dibincangkan betul-betul sebab saya kira apa matlamat orang Cina hidup di Malaysia ini.

"Kalau pergi Indonesia, orang Cina kena tukar nama dan sekolah Cina tidak ada, Thailand pun sama. Di Malaysia kita boleh jadi orang Cina, pergi ke sekolah Cina dan merayakan apa-apa sahaja perayaan," katanya.

Beliau berucap dalam Program Bicara Eksekutif Budaya 2013 bertajuk Kesantunan Bahasa Melayu Dalam Komunikasi dan Penulisan Mutakhir di Kompleks Dagangan Mahkota, di sini hari ini. Sementara itu, Kok Seong berkata, pelantikan dua anggota Kabinet, Senator Datuk Paul Low dan Datuk Mary Yap Kain Ching hanya kerana tidak fasih bahasa Mandarin tidak wajar dipertikai kerana bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu. 

"Masyarakat Cina cakap mereka ini tidak layak jadi pemimpin mereka, sampai tahap itu sekali. Malah, masyarakat Cina walaupun setelah 55 tahun merdeka, ada yang tidak boleh memahami bahasa Melayu.

"Apakah ceramah perlu disampaikan dalam bahasa Cina (Mandarin). Kita ada bahasa sendiri (kebangsaan). Sepatutnya perkara ini tidak timbul kerana pemimpin tidak perlu fasih dalam bahasa Cina hanya kerana hendak berkomunikasi dengan mereka," katanya.

Sementara itu, katanya, penyatuan nasional yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini bertepatan dengan keadaan masa kini. Tambah beliau, kaedah terbaik menyelesaikan masalah perpaduan itu ialah dengan mewujudkan Sekolah Wawasan.

"Sistem persekolahan sekarang telah memecah-belahkan anak-anak bangsa pada usia muda. Jadi kita kena fikirkan cara selesaikan masalah ini.

"Saya rasa Sekolah Wawasan adalah jalan terbaik. Kita bina sekolah tiga aliran ini sebelah menyebelah supaya akhirnya akan mempertingkat integrasi antara pelajar," katanya.

Catat Ulasan

1 Ulasan