Cuti sekolah kali ini juga menyimpan seribu satu kenangan manis buat saya. Ini kerana saya mendapat undangan bagi menghadiri satu majlis perkahwinan masyarakat Iban yang akan berlangsung di rumah panjang. Ini adalah kali pertama saya berpeluang mengikuti majlis perkahwinan mengikut budaya masyarakat Iban. Namun, yang paling istimewa adalah kerana majlis perkahwinan ini merupakan majlis perkahwinan kawan baik saya, Cikgu Beatrice Bangkang bersama pasangannya yang juga kawan saya, Cikgu David Sobin.
Banyak sebab sebenarnya untuk saya terima undangan majlis perkahwinan ini. Yang pertamanya adalah disebabkan Cikgu Beatrice Bangkang dan Cikgu David Sobin adalah kawan baik saya. Yang keduanya disebabkan keinginan untuk melihat majlis perkahwinan masyarakat Iban di rumah panjang dengan lebih dekat lagi. Dan yang terakhirnya adalah disebabkan kefahaman Cikgu Beatrice Bangkang dan keluarga mengenai keperluan makanan halal kepada tetamu beragama Islam.
Pada sebelah paginya, kedua pasangan ini telah melangsungkan perkahwinan secara sivil di gereja di bandar Sibu. Namun majlis kenduri diadakan di rumah panjang pengantin perempuan di Durin, Sibu. Untuk pengetahuan, sambutan majlis kenduri perkahwinan Iban selalunya berlangsung pada waktu malam. Maka saya dan Cikgu Alif, beserta 2 orang lagi pelajar berbangsa Iban tiba di rumah panjang tersebut pada jam 8 malam.
Kebetulan, pengantin juga tiba di rumah panjang dalam masa yang sama dengan mengenakan pakaian tradisional Iban. Mereka kemudiannya menunggu buat sementara waktu di bilik pengantin perempuan. Kami pula sibuk mencari sesiapa yang mungkin kami kenali. Bernasib baik kebetulan ada beberapa orang rakan guru dari sekolah juga telah berada di sana lebih awal. Cikgu Janting dan isteri, Cikgu Idawaty serta Cikgu Thomas dan isterinya, Cikgu Catherine.
Ahli keluarga Cikgu Beatrice Bangkang kemudiannya datang menjemput kami untuk menjamu selera di bilik khas bagi tetamu Islam. Banyak juga makanan yang disediakan untuk kami. Ahli keluarga Cikgu Beatrice Bangkang setakat yang saya kenali memang mempunyai ramai kenalan yang beragama Islam. Jadi bukanlah menjadi sesuatu yang mengejutkan apabila mereka mengkhaskan makanan untuk tetamu beragama Islam.
Selesai makan, kami begerak ke ruai bagi bersama tetamu yang lain. Ruai adalah ruang lapang untuk berkumpul di depan bilik masing-masing. Kami berbual-bual dengan rakan guru sambil menunggu masa untuk pengantin keluar. Kelihatan juga tetamu memenuhi terutamanya ruang yang berdekatan dengan pelamin.
Keluarga sebelah lelaki turut berkumpul di dalam bilik (rumah) pengantin perempuan. Apabila emcee mengumumkan perarakan pengantin, keluarga pengantin lelaki turut mengiringi mereka keluar dari bilik.
Majlis diteruskan dengan ucapan daripada bapa pengantin perempuan. Dalam kata-katanya, bapa pengantin memberikan penghargaan kepada tetamu yang hadir memeriahkan majlis serta mengucapkan terima kasih atas segala bantuan yang telah dihulurkan. Tak lupa juga untuk mengucapkan tahniah kepada pasangan pengantin serta kata-kata nasihat dalam mengharungi alam rumahtangga.
Selesai bapa pengantin perempuan, giliran bapa pengantin lelaki pula untuk memberikan ucapan. Bapa pengantin lelaki menyatakan penghargaan kepada keluarga pengantin perempuan dan ahli rumah panjang yang telah berkerja keras dalam menjayakan majlis ini. Ucapan diakhiri dengan kata-kata nasihat kepada pasangan pengantin.
Giliran terakhir adalah giliran tuai rumah untuk berucap. Dalam ucapannya, tuai rumah berpesan kepada pasangan pengantin agar pandai membawa diri dalam menempuh hidup berdua. Juga pesanan untuk bergaul mesra dengan masyarakat rumah panjang.
Kesemua ucapan adalah menggunakan Bahasa Iban. Tidaklah menjadi masalah untuk saya memahami Bahasa Iban dengan pengalaman 7 tahun berkhidmat di Sarawak. Cuma ada beberapa perkataan adat yang tidak saya fahami akan saya rujuk dengan pelajar yang saya bawa bersama.
Memandangkan Cikgu Beatrice Bangkang dan suami, Cikgu David Sobin beragama Kristian, maka tidak ada lah adat miring seperti yang biasa kita bayangkan. Bagi mereka yang sudah beragama Kristian, amalan animisme seperti itu, tidak lagi diamalkan. Jika adapun hanyalah sekadar melaksanakan adat sahaja.
Majlis diteruskan lagi dengan acara yang menarik, iaitu keluarga pengantin lelaki dan pengantin perempuan akan bertukar Bakuk. Bakuk adalah bekas besi berpenutup yang di dalamnya ada pinang, sirih, rokok serta sedikit duit. Bakuk akan diikat dengan dawai. Kemudian keluarga pengantin lelaki akan bertanding dengan keluarga pengantin perempuan bagi membuka ikatan tersebut.
Keluarga yang paling cepat membuka ikatan tersebut dikira sebagai pemenang. Ini adalah adat bagi mengeratkan lagi hubungan antara keluarga lelaki dan perempuan. Gelak ketawa kedengaran sepanjang acara melihat kepada keletah dan kekreatifan mereka membuka ikatan. Untuk acara ini, keluarga sebelah pengantin perempuan telah memenangi acara membuka ikatan ini.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan adat langkah bendul. Disebabkan kedua-dua pengantin lelaki dan pengantin perempuan telah melangkahi giliran berkahwin dalam keluarga, maka mereka dikehendaki menghadiahkan barang kemas kepada adik beradik tersebut.
Saya lihat adat ini ada persamaan dengan adat Melayu, bezanya bagi masyarakat Iban, adat langkah bendul ini diamalkan juga kepada pengantin lelaki. Tak pernah pula saya dengar amalan langkah bendul bagi pengantin lelaki untuk masyarakat Melayu. Betul kan kalau saya salah yer.. ;)
Pengantin kemudiannya menukar set pakaian kedua, iaitu dengan mengenakan baju tradisional Bidayuh. Ini kerana, suami Cikgu Beatrice Bangkang, iaitu Cikgu David Sobin seorang yang berbangsa Bidayuh. Jadi pemakaian baju Bidayuh ini juga adalah sangat sesuai. Nampak cantik sangat mereka berdua pada malam tersebut!
Majlis diteruskan dengan acara memotong kek dan suap menyuap kek. Majlis diakhiri dengan pengantin memberi minuman kepada tetamu. Disebabkan masa yang semakin lewat, maka kami minta izin daripada pengantin untuk pulang.
Secara keseluruhannya, memang saya akui ini adalah satu pengalaman baru yang unik buat saya. Tapi saya juga gembira, kerana telah berjaya hadir bagi meraikan perkahwinan kawan baik saya serta menyaksikan sendiri perkahwinan masyarakat Iban. Layanan baik daripada keluarga pengantin sepanjang majlis berlangsung juga sangat saya hargai.
Kepada Cikgu Beatrice Bangkang dan Cikgu David Sobin, Tahniah! Selamat Pengantin Baru.. Semoga berkekalan sehingga ke anak cucu!
- HOME
- SAINS KSSM
- _SAINS T1
- _SAINS T2
- _SAINS T3
- _SAINS T4
- _SAINS T5
- IDEA SAINS KREATIF
- PEMBELAJARAN ABAD KE-21
- STEM
- _PANDUAN
- GURU CEMERLANG
- __1: BORANG
- __2: FILING
- __3: PDPC
- __4: NAZIR
- _REFLEKSI
- __REFLEKSI 2013
- __REFLEKSI 2014
- __REFLEKSI 2015
- __REFLEKSI 2016
- __REFLEKSI 2017
- __REFLEKSI 2018
- __REFLEKSI 2019
- GURU GLOBAL
- _80 HARI DI KOREA
- _STELR STEM BANDUNG
- _GURU NASA @USA
- _KI HAJAR DEWANTARA
- _CERN @GENEVA
- CIKGU HAILMI
16 Ulasan
ooo bidayuh .. kawin engau iban... aruh baju bini ya lain jak ku medak tadik.. hahaha..
BalasPadamaok.. Yang ke laki nya Bidayuh.. indu nya Iban.. ;)
BalasPadamSama padan! :D Christian rupanya. Ingatkan dorang ada buat adat lama. Kalau ada nak jugak tengok, sbb Vee tak pernah lagi. Hahaa.. Before ni smua Christian wedding ceremony je . Kekekee.
BalasPadamYup.. comey kan ?.. Mula2 pun cikgu ingatkan diorang kahwin, duduk atas tawak semua.. rupanya dah jadik konsep perkahwinan Iban kontemporari.. Apa2 pun, jom kita doakan mereka bahagia ke anak cucu k!
Padamwahh, best la hang kann..
BalasPadamha ha ha.. best.. mai ar join sekali lain kali.. ;)
PadamTahniah buat cikgu Bangkang beserta suami :D semoga kekal bahagia. kawen rumah panjang seronok. sbb masa tuu dpt tengok dan rasa sendiri semua sanak sedara and komuniti bergaul dan tolong menolong ;) hihii *angan2 jap* :P ekekeke~~ gurauu gurau haha
BalasPadambest review ! ;)
BalasPadamBest kan tengok diorang.. ;)
BalasPadamwow...SA suka bab ni..SA suka tengok budaya masyarakat lain...cuma x berpeluang masa SA melawat Sarawak november lepas....MAYBE BOLEH PERGI NEXT TIME KOT...
BalasPadamyup.. patut datang tengok.. lagi2 yang buat kat rumah panjang.. memang ada kelainannya.. ;)
BalasPadamJika ada undangan, datanglah majlis perkahwinan melayu Sarawak. pasti ada bezanya.
BalasPadamInshaAllah.. tunggu Zue Zuely lah jemput cikgu.. ;)
BalasPadamMy cousin.... Saya nampak muka saya dlm tu....heheheh
BalasPadamTahniah Cikgu Bangkang and husband...salam syg dr Cikgu Jaime ��
BalasPadamthank you atas sharing...doakan perkahwinan saya
BalasPadam