Bagi Bengkel Penulisan, sesi ceramah ini disampaikan oleh Puan Rodziah Adama. Orangnya bersahaja, tetapi hebat. Mempunyai banyak pengalaman dalam bidang penulisan. Malangnya, persembahan powerpoint yang disediakan tak dapat nak ditayangkan disebabkan LCD yang rosak. Mujurlah ada nota ceramah juga disertakan dalam fail yang diberikan kepada peserta. Dapatlah juga diceritakan berpandukan kepada edaran tersebut.
Bengkel Penulisan bersambung kepada sesi kedua, dengan sesi kedua lebih berfokus kepada aktiviti dalam kumpulan. Di mana setiap kumpulan perlu menyediakan satu sinopsis cerita yang ingin dijadikan sebagai hasil filem pendek di akhir kem ini nanti. Terdapat 10 tema yang disediakan oleh Encik Taher. Dan 10 tema ini adalah berkaitan dengan dunia pendidikan seperti ponteng, merokok, dan lain-lain lagi.
Guru dan fasilitator turut terlibat dalam membantu pelajar bagi memikirkan jalan cerita yang terbaik. Namun dapat saya perhatikan bahawa pelajar menjadi sedikit pasif apabila ada guru dalam kumpulan mereka. Nampak seperti kurang selesa dalam memberikan idea sekalipun, guru-guru kuat memberi dorongan untuk pelajar mengeluarkan idea.
Selesai sesi dalam kumpulan, maka wakil setiap kumpulan perlu menceritakan apa yang ingin difilemkan mengikut tema yang diberikan. Ini kita panggil sesi 'pitching'. Di mana kumpulan akan membentangkan dalam masa yang singkat, apa yang akan dibuat. Beberapa juri akan memberikan soalan dan cadangan bagi penambahbaikan jalan cerita tersebut. Namun di akhir sesi, hanya ada 5 kumpulan terbaik yang dipilih bagi memfilemkan cerita mereka.
Sesi petang diteruskan lagi dengan Bengkel Lakonan oleh Puan Juhara Ayub dan Encik Shariful Akmar. Kedua-dua mereka adalah pelakon yang juga sekarang menjadi pensyarah di ASWARA. Puan Juhara Ayub lebih menyerlah dalam lakonan teater Bangsawan. Menggunakan kepakaran lakonan mereka dalam bidang teater, maka beberapa tips berguna telah dikongsikan kepada pelajar dalam memberikan lakonan yang berkesan.
Sesi berlangsung lebih rapat, kerana dijalankan secara berkumpulan. Namun menggunakan lebih banyak masa.
Bengkel terakhir yang dijalankan untuk hari ini adalah Bengkel Pengarahan yang disampaikan oleh Encik Matthew dan juga Encik Dzul Karnain. Perkongsian ilmu daripada 2 orang pensyarah ini memang memberi input baru kepada saya dan pelajar. Terutamanya yang berkaitan dengan beberapa peraturan semasa shooting dan tips bagaimana menggunakan framework dengan berkesan.
Selesai aktiviti seharian di ASWARA, kami kembali ke tempat menginap di Shaftbury Residence. Untuk sesi sebelah malam pula lebih menarik, kerana kami didatangkan 5 orang Pengarah Filem yang akan memberi didikan terus kepada peserta. Mereka adalah Nuad Othman, Tengku Monaliza, Wan Hafiz, Megat Shahrizal dan Melissa Saila.
Antara mereka, saya hanya kenal Melissa Saila sahaja disebabkan beliau pernah menjadi pelakon suatu ketika dahulu. Tak kenal pengarah yang lain disebabkan mereka bekerja di belakang tabir. Namun sebenarnya mereka amat popular dalam kalangan penggiat seni dan industri.
Setiap kumpulan diberikan seorang pengarah, dan bagi kumpulan saya, kami dibimbing oleh Tengku Monaliza. Secara jujurnya, orangnya memang sangat hebat dalam bidang penghasilan filem. Punya identiti dan juga memiliki karisma yang baik sebagai seorang pengarah.
Beliau juga telah menghasilkan satu iklan pendek yang hebat berjudul 'Buli' di bawah projek Kementerian Pendidikan Malaysia. Dan bila kami sepasukan diberi peluang untuk mendengar analisa iklan tersebut, maka tahu lah kami bahawa bukan senang sebenarnya nak menghasilkan iklan sepanjang 2 minit. Apatah lagi yang melibatkan sehingga 2 jam! Maka hormatilah hasil kerja mereka yang juga bersungguh-sungguh dalam menghasilkan sesuatu yang terbaik untuk kita tonton.
Banyak tips yang berguna diberikan oleh Tengku Monaliza secara langsung kepada peserta. Dan saya rasa, pengarah yang lain pun mesti ada kongsi tips dan rahsia kejayaan mereka kepada para peserta lain. Saya sangat berharap agar para peserta berjaya menggunakan ilmu yang diperturunkan dalam memberikan hasil yang lebih baik dalam karya mereka.
Teruskan lagi membaca aktiviti kami pada Hari ke-3! Hari masa mula start shooting dan editing.. penuh aksi..
3 Ulasan
wow ada melisa ke..rindunyaa lama dia xblakon kan
BalasPadamlame dah tak join kem2 camni...
BalasPadamhak3.. jemput join yer nabila.. best... ;)
Padam