Refleksi kendiri sepanjang tahun 2014 |
Guru Cemerlang
Jika pada tahun lepas, saya dilantik menjadi Guru Cemerlang, alhamdulillah tahun ini, genap setahun, maka saya sudah mendapat surat pengesahan pada bulan April. Jika sebelumnya dengan taraf 'memangku', selepas pengesahan, dah tak perlu nak tulis perkataan 'memangku' tersebut lagi.
Kalau ditanya dari segi gaji, rasanya macam tak ada beza sahaja antara memangku dan selepasnya. Cuma dari segi kelayakan untuk memohon ke gred seterusnya, kini dah terbuka luas. InshaAllah dengan 'lesen' ini, maka dah tentu lah saya akan tertumpu kepada usaha mencabar diri untuk ke gred seterusnya. Doakan kejayaan saya nanti yer!
Bacaan Menarik : Panduan Mohon Guru Cemerlang
Bacaan Menarik : 7 Kelebihan Jadi Guru Cemerlang
Inovasi Video
Melihatkan sedikit bakat dan kemahiran yang ada dalam bidang video, maka untuk tahun ini saya tampil menghasilkan inovasi video. Inovasi yang saya namakan Video Eksperimen Sains tu adalah merupakan koleksi video bagi eksperimen-eksperimen penting sains yang menggunakan tenaga kerja produksi di sekolah, iaitu anak-anak murid saya sendiri.
Tambah bersemangat apabila saya mendapat maklum balas terus daripada sebilangan guru yang mengatakan bahawa mereka menggunakan video tersebut untuk pembelajaran di sekolah. Terutamanya guru yang mengajar di sekolah yang tidak mempunyai kelengkapan makmal yang sempurna dan mencukupi. Alhamdulillah.. ada guna juga video tersebut! Ingatkan dah syok sendiri dah.. ;)
Penceramah
Tahun ini sebenarnya saya banyak menerima undangan ceramah di sekolah serata Malaysia. Ada dari Sabah, ada dari Selangor, dan ada dari Johor. Tetapi sebaik sahaja, mengetahui saya mengajar di Sarawak, banyak yang terpaksa dibatalkan sebab tak ada budget untuk pengangkutan. Takpe.. saya redho. Bukan rezeki saya kot nak jumpa anak murid di sana.
Kalau tahun lepas ada berceramah di SMK Bakun mengenai teknik menjawab. Tapi kali ini, pelaksanaan PT3 buat pertama kalinya juga memberi kesan kepada guru-guru yang selalu keluar beri ceramah. Maka, tahun ini saya fokuskan lebih kepada bidang yang berkaitan profesionalisma keguruan dan bidang pendidikan.
Adik-adik Tunas Geliga |
Antara kenangan manis adalah apabila diberi kepercayaan oleh pihak Peneraju bagi terlibat dengan Pemilihan Penerima Biasiswa Peneraju Tunas Geliga 2014 bagi Zon Sarawak dan juga sebagai penceramah untuk Kem Pembangunan Tunas Geliga Kebangsaan yang diadakan semasa cuti sekolah ini. Semua ini adalah pengalaman berharga yang berguna untuk perkembangan kerjaya saya sebagai seorang pendidik.
PLC (Professional Learning Communities)
Tahun ini juga saya banyak diberi peluang untuk berkongsi kejayaan saya dalam laman sosial, terutamanya mengenai bidang pendidikan. Banyak pihak nampaknya yang dah mula buka mata mengenai apa yang dah saya buat selama ini. Alhamdulillah. Peluang ini adalah peluang terbaik untuk saya kongsikan ilmu saya, dan sebolehnya memotivasikan lagi guru lain untuk sama-sama bekerja.
Seminar PLC 2014 peringkat negeri Sarawak |
Terima kasih yang tak terhingga buat Cikgu Lau Shin Chai, JPN Sarawak yang banyak memperkenalkan saya kepada warga pendidik Sarawak melalui PLC. Atas sebab PLC nih juga saya diberi peluang berkongsi pengalaman mengajar bersama guru-guru Sains di SMK Bawang Assan. Bukan pegi tengok cikgu sana mengajar ye. Tapi, saya yang mengajar, sambil diperhatikan oleh guru-guru Sains lain sekolah tersebut! Konsep Peer-Coaching. Nervous, tapi alhamdulillah, banyak pengalaman diperolehi.
Peluang kedua adalah apabila diberi peluang untuk menjadi pembentang dalam Seminar PLC 2014 Peringkat Sarawak. Hu3.. Seminar peringkat negeri Sarawak ini mengumpulkan peserta Seminar yang terdiri daripada Pengetua-pengetua, Guru Besar, orang JPN, orang PPD dan wakil PLC sekolah seluruh Sarawak! Nak terkucil jer rasa. Tapi saya cuba yang terbaik dan tak sangka pula boleh terpilih sebagai Pembentang Terbaik untuk Seminar tersebut! Moga kejayaan ini akan jadi motivasi saya untuk terus bergiat aktif dalam bidang PLC selepas ini.
Jurulatih Sofbol
Tahun ini juga mencatatkan kenangan manis buat saya sebagai Jurulatih Sofbol. Pasukan sekolah saya muncul Johan bagi kedua-dua kategori Lelaki dan Perempuan untuk daerah Sibu. Juara berganda. Ini juga bermakna pasukan sofbol lelaki telah menjadi Johan buat kali ke 7 berturut-turut dengan rekod tanpa kalah sepanjang 7 tahun ini. Best!
Kejayaan ini diteruskan lagi apabila pasukan Sibu berjaya merangkul Naib Johan bagi pertandingan sofbol peringkat negeri Sarawak! Ini juga merupakan pencapaian terbaik pasukan Sibu sepanjang 8 tahun kami membabitkan diri dalam dunia sofbol di Sarawak nih. Terbaik!
Kenangan manis bersama pasukan Sibu selepas muncul Naib Johan Sarawak 2014 |
Walaupun ada mulut-mulut hampeh dan longkang (dah semestinya mereka-mereka yang tidak berada di padang, dan bukan status jurulatih pun.. ) yang mempertikaikan kemenangan 'team ulam' nih, tapi bagi saya sebagai jurulatih, pemain-pemain Sibu dah lakukan yang terbaik! Anda memang layak.. So, Ada aku kesah?!! ;)
Seramai 3 orang pelajar sekolah saya telah terpilih untuk membarisi pasukan sofbol Sarawak ke peringkat kebangsaan yang berlangsung di Pulau Pinang. Kejayaan ini juga membolehkan saya untuk diberikan Anugerah Guru Cemerlang Ko-Kurikulum di Majlis Anugerah Kecemerlangan peringkat sekolah. Terima kasih!
Penulis Buku
Kali ini merosot sikit bilangan buku yang saya tulis. Tahun lepas sempat sampai 3 buah buku. Memang diakui ada banyak pelawaan dari penerbit buku. Tawaran pun menarik dan lumayan. Tapi atas faktor kekangan masa dan keutamaan projek, maka saya hanya menerima satu sahaja tawaran menulis pada tahun ni. Sebuah ensiklopedia Sains. Itu pun projek masih terkangkang dan berselerak. Harapnya dapat disiapkan seperti yang dikehendaki pada tarikhnya.
Sasaran saya selepas ini adalah mahu kekalkan prestasi dengan sekurang-kurangnya sebuah buku bagi setiap tahun. InshaAllah, itu lebih baik daripada terima banyak-banyak, kemudian tak dapat disiapkan pada tempohnya. Semoga dipermudahkan urusan saya. Amin!
Liga Remaja Kreatif 2014
Kejayaan menjuarai Liga Remaja Kreatif 2013, membuatkan saya selaku guru pembimbing, mempunyai lebih banyak tugasan dan kerja yang perlu dilakukan. Dari awal tahun sudah saya pertanggungjawabkan pelajar-pelajar berpotensi untuk mengasah bakat dan minat mereka dalam bidang penghasilan video melalui penghasilan video eksperimen Sains.
Pelbagai persiapan dilakukan termasuk menghantar sekumpulan pelajar pelapis bagi Kem Pembangunan Remaja Kreatif 2014 di Kuala Lumpur. Kemudian apabila berlangsungnya Liga Remaja Kreatif 2014, maka lebih rancaklah persiapan yang dilakukan bagi memastikan kejayaan masih milik kami.
Menjuarai Liga Remaja Kreatif peringkat Kebangsaan buat kali kedua |
Ternyata usaha kami tak sia-sia. Sekali lagi muncul sebagai Johan bagi negeri Sarawak dan akhirnya dinobatkan buat kali kedua sebagai Johan Peringkat Kebangsaan, merupakan kenangan manis saya buat tahun ini. Secara jujur bagi saya, bukan senang nak mendapatkan Johan Kebangsaan, memandangkan saingan daripada sekolah-sekolah lain juga adalah sengit pada tahun ini. Namun, tetap tak mustahil jika kita usahakan pada jalan yang betul dengan usaha yang betul.
Anugerah Blog Pendidikan Terbaik
Usaha selama 2 tahun dalam dunia blogging ini juga mula membuahkan hasil yang manis buat saya. Pemilihan blog niche pendidikan ternyata mampu mengetengahkan lebih banyak bakat dan peluang untuk saya.
Awal tahun ini, blog saya telah memenangi Best Educational Blog bagi Anugerah Media Sosial Malaysia 2014. Kejayaan pertama ini ternyata memberi motivasi besar kepada saya untuk berusaha dengan lebih gigih memantapkan lagi kandungan blog ini. Sehingga blog ini sekali lagi dipilih sebagai Johan bagi Pertandingan Blog dan Kurasi Kandungan 2014 anjuran UPSI.
Kemuncak bagi kejayaan blog ini adalah apabila saya terpilih sebagai Agent of National Transformation 2014 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang bertujuan mengiktiraf usaha-usaha individu atau komuniti dalam memberi sumbangan kepada masyarakat.
Terima kasih atas semua penghargaan dan pengiktirafan daripada semua pihak terhadap usaha yang saya lakukan selama ini. Semua ini tak lebih kepada usaha untuk menambah motivasi saya agar bekerja dengan lebih gigih dan kuat di masa akan datang. INshaAllah, kita berkerja bersama-sama. Jika ada yang tak betul, silakan tegur saya dengan berhemah. Saya juga masih belajar. ;)
Saya ambil peluang ini juga untuk merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih buat insan-insan belakang tabir yang menjadi sumber kekuatan saya selama ini, termasuk lah rakan pembaca. Moga dengan sokongan anda yang berterusan, inshaAllah perkongsian ini akan jadi lebih bermakna dan lebih berharga. Amin!
17 Ulasan
Taniah cikgu
BalasPadamterima kasih cikgu Zamrud
PadamTahniah cikgu.. Meninggalkan 2014 dengan kejayaan demi kejayaan..
BalasPadamterima kasih Moms Avenue.. inshaAllah.. moga2 berterusan..
Padamtahniah cikgu & good luck!
BalasPadamterima kasih Fazreen.. inshaAllah
PadamVideo Eksperimen Sains tu , suara kurang clear...
BalasPadamTahniah atas pelantikan sebagai Guru Cemerlang dan terpilih sebagai Agent of National Transformation 2014 :)
Terima kasih.. inshaAllah akan diperbaiki lagi dari masa ke semasa
PadamTQ jugak untuk komen membina.. ;)
semoga perkongsian ilmu memberi inspirasi untuk sya n warga pendidik yang lain untuk memberi sinar baru kepada anak-anak pelajar...aminnnn..tahinah cikgu....semoga cikgu terus berbakti n semoga ALLAH PERLUASKAN REZEKI CIKGUUU..AMINNN
BalasPadamInshaAllah.. terima kasih juga untuk doa.. Semoga menjadi ilmu yang bermanfaat
PadamTahniah cikgu Hailmi....setiap apa yg ditulis benar2 memberi info & pengetahuan yang baik buat saya tauladani...
BalasPadamTerima kasih.. inshaAllah.. mudah2an jadi amal yang berguna.. ;)
PadamTahniah cikgu...proud of you. Blog cikgu sumber rujukan saya untuk mengajar anak-anak. Dia orang pun hairan macammana mak dia yang tak tahu apa-apa tiba-tiba pandai pasal sains. Terima kasih cikgu.
BalasPadamTerima kasih banyak puan.. ha3.. inshaAllah, moga jadi ilmu yang bermanfaat.. pasnih ble plan wat simple science project kat rumah dengan anak2.. kesedaran Sains bermula dari rumah.. ;)
PadamTahniah, semoga usaha murni boleh diteruskan ...
BalasPadamTahniah cikgu. Satu sumber inspirasi untuk majukan diri.
BalasPadamTQ Cikgu Shikin. InshaAllah sama-sama memotivasikan antara satu sama lain.
BalasPadam