Saya bangun awal, sebab nak buat persiapan diri lebih awal untuk ke sekolah. Kelas di Korea hanya bermula pada 8.30 pagi dan berakhir pada jam 4.30 petang. Kemudian disambung lagi dengan aktiviti ko-kurikulum sehingga pukul 6 petang. Kadang-kadang ada yang berlanjutan sehingga 9 malam!
Oh ya! Masa mula-mula datang tak faham juga apa beza antara Middle School dan High School. Rupanya baru lah saya tahu, Middle School adalah Menengah Rendah ( 1 2 3 ) dan High School pula adalah Menengah Atas (4 5 6). Bagi sekolah-sekolah yang ada perkataan Commercials, itu bermaksud sekolah tersebut adalah sekolah jenis teknik dan vokasional jika di Malaysia.
Daegu Girls Commercial High School bermaksud sekolah vokasional khusus untuk pelajar perempuan yang berumur 16, 17 dan 18 tahun. Di sini, fokus utama adalah menghasilkan pelajar yang berkemahiran dalam bidang business dan selepas keluar daripada sekolah ini mampu terus bekerja atau menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Awalnya kami buat keputusan untuk mengenakan Baju Melayu dan Baju Kurung untuk hari pertama kami di sekolah. Tentulah nak memperkenalkan budaya Malaysia kepada orang Korea. Tetapi Kim Songsaenim telah mengarahkan kami untuk memakai baju formal kerana ada sesi fotografi di sekolah.
Kim Songsaenim, saya dan Hanne, berjalan kaki dari rumah ke sekolah. Lebih kurang 15 minit juga ambik masa untuk bergerak ke sekolah. Biasanya orang Korea berjalan laju macam terkejar-kejar sesuatu. Sama macam orang Jepun. Jadi beberapa kali jugak lah kami di'potong' oleh pelajar-pelajar yang sibuk nak ke sekolah.
Setibanya di sekolah, terkejut juga dengan banner sebesar alam yang terpampang di pagar sekolah. Siap ada nama penuh dan nama sekolah tu. Bangga pulak rasa. Kami disambut dengan beberapa orang guru dan pelajar bersama papan tanda bertulisan Hangul. Kemudian terus dibawa ke bilik Pengetua dan diperkenalkan dengan barisan pentadbir yang lain. Rasa sangat-sangat dialu-alukan datang ke sini.
Selesai berkenalan di pejabat dan bilik Pengetua, kami dibawa ke Bilik Guru bagi bertemu dengan rakan guru lain. Kami juga dijemput untuk memperkenalkan diri masing-masing. Mujur lah juga ada belajar sikit nak memperkenalkan diri, asal dan jenis subjek dalam bahasa Korea. Tersengih-sengih diorang mendengar saya cakap Korea, yang entah betul atau tidak tu.
Rupanya terdapat sedikit salah faham antara guru mentor dan sekolah. Pengetua meminta kami pulang dan tukar kepada pakaian tradisional bagi sesi fotografi nanti. Mujur lah rumah dekat. Maka Kim Songsaenim pun menghantar ler kami ke rumah dan tunggu untuk kami tukar pakaian. Pakaian formal dibawa juga untuk digantikan selepas fotografi.
Kami ke Image Studio di sekolah. Rupanya sekolah ini ada 'stesyen tv' khas untuk rakaman sebarang pengumuman daripada pihak sekolah. Ala-ala macam siaran TV, sebab semua kelas dapat tonton di TV yang terdapat dalam kelas masing-masing. Kelassss! Feeling retis..
Ada sedikit majlis sambutan yang diadakan untuk kami bersama pelajar. Welcoming Ceremony dari sekolah. Dapat hadiah jambangan bunga yang besar. Excited pulak budak-budak Korea tu bila dengar saya cakap Korea sikit.
Tapi saya sebenarnya lagi kagum dengan diorang. Peralatan untuk broadcasting ke sekolah tadi dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar. Baru nak tunjuk skill ble buat video, tengok-tengok diorang lagi dahsyat. Hmm.. kena cari benda lain nih..
Selesai broadcasting bersama Pengetua dan pelajar, kami menukar baju kepada baju formal. Pengetua membawa kami ke sekitar sekolah sambil menunjukkan beberapa kemudahan yang terdapat di sekolah ini.
Antaranya adalah kantin atau kafe yang terletak di bahagian bawah sekolah. Menariknya mengenai kantin sekolah di Korea adalah semua pelajar dan guru akan makan makanan yang sama mengikut menu yang disediakan. Maklumat makanan juga disediakan di dalam kantin bagi rujukan pelajar dan guru. Yuran makan dipotong secara bulanan dalam slip gaji guru, manakala pelajar perlu membuat bayaran pada setiap bulan.
Bab makanan dia memang tak payah cerita. Memang sangat sihat. Kebanyakkan terdiri daripada sayur-sayuran, mentah atau dibuat sup. Sangat jarang jika nak jumpa yang bergoreng atau masak lemak atau kari. He3. Dan dah tentu lah makanan tradisi mereka, Kimchi menjadi hidangan wajib setiap kali menu makan. Patut ler orang Korea nih kurus-kurus walaupun mereka makan banyak!
Juga menjadi budaya di sekolah di Korea, setiap kali selesai makan, bekas makanan akan dihantar ke tempat yang disediakan. Sisa makanan diasingkan. Peralatan seperti sudu dan chopstick juga diasingkan mengikut bekasnya. Dahsyat. Pengetua pun buat benda yang sama tau!
Kemudian kami bergerak lagi ke bahagian atas bangunan sekolah yang menempatkan dewan utama. Ada seorang fotografer menunggu. Mulanya kami sangkakan ini adalah fotografer rasmi sekolah.
Rupanya beliau adalah fotografer professional yang akan menggunakan gambar kami untuk dibuat pamplet, sebab kami akan terlibat dalam satu Teater Muzikal guru-guru di Daegu yang juga akan disertai oleh Pengetua sendiri!
Wahhhhh.. kejutan sungguh! Nanti tunggu saya update untuk bulan Oktober nanti yer! ;)
Kami kemudiannya diberikan English Classroom sebagai bilik guru kami untuk 2 bulan ini. Bilik guru asal dah penuh dan memang padat dengan guru-guru. Jadi, untuk hari ini kami hanya duduk dan lepak-lepak saja dalam bilik ini, sambil melihat budak-budak yang keluar masuk dari bilik.
Sebelah petang pula keluar jalan-jalan dengan Kim Songsaenim untuk mencari bekalan bagi memasak dan juga peralatan lain yang diperlukan. Katanya pihak APCEIU-UNESCO ada menyediakan sejumlah grant kepada pihak sekolah dalam memberikan peralatan yang kami perlukan sepanjang berada di sekolah ini.
Jom tengok video perjalanan saya untuk hari ini. Sekolah baru!
Selepas seminggu asyik makan makanan Korea, malam nih tak sabar nak masak nasi, makan dengan telur goreng dan serunding yang dibawa dari kampung! Rasanya makanan paling sedap dalam dunia kot waktu nih.. ;)
4 Ulasan
Tahniah cikgu! terima kasih berkongsi pengalaman.
BalasPadamTahniah...
BalasPadamtahniah...moga berjaya cikgu...
BalasPadamCikgu.. bab mknn kt sna mcm mna plak?
BalasPadam