About Me

80 Hari di Korea : Hari 16 (Hari Sukan Sekolah di Korea)

Sampai saja sekolah, saya lihat banyak khemah sukan yang sudah sedia dipasang di dataran sekolah. Yeahh.. tak sabar nak tengok hari sukan pelajar-pelajar di Korea nih. Mula-mula pelik juga sebab minggu selepas cuti nih akan bermula peperiksaan pertengahan semester 2 mereka. Bila ditanya kepada guru-guru, hari sukan nih merupakan hari untuk pelajar 'release tension' selepas penat belajar sebelum nih. Oh.. faham...




Yang menariknya, setiap kelas mempunyai pakaian kelas masing-masing. Memang unik. Ada yang pakai cekak rambut yang macam sesungut lebah, ada yang baju bunga-bunga, ada yang guna skirt Sesame Street. Dan yang paling saya suka adalah kelas yang mengenakan baju Hanbok moden, iaitu pakaian tradisional Korea. Cute sangat!










Acara bermula di padang sekolah pada jam 9 pagi. Walaupun matahari dah naik, tapi cuaca di sini tak ler sepanas kita di Malaysia. Masih sejuk. Masih boleh pakai kot. Acara dimulakan dengan acara tarik tali. Setiap kelas akan bertanding mengikut Grade (Tingkatan) masing-masing. Setiap Grade (Tingkatan) ada 10 kelas, dengan 30 orang murid bagi setiap kelas.

Memang meriah giler dengan bunyi-bunyian dan juga warna warni yang dapat dilihat di padang. Setiap kelas juga ada pasukan sorak masing-masing dengan gaya masing-masing. Keluar habis perangai-perangai lucu mereka pada ketika ini. Ada yang bawak gendang Korea bagi memeriahkan lagi acara.








Acara kedua adalah acara lari atas belakang kawan. Kawan-kawan sekelas mereka akan tunduk macam kedudukan Rukuk, kemudian ada seorang kawan akan berlari di atas belakang mereka membuat pusingan yang panjang. Yang ini saya suka! Sebab nampak sangat mereka perlu pantas dalam membuat keputusan secara berkumpulan. Kesilapan kecil individu boleh membuatkan satu pasukan kalah.

Acara disambung dengan 6 kaki gergasi. Ini juga menarik! Setiap kumpulan harus bekerjasama bagi membolehkan 6 kaki bergerak serentak. Berbagai-bagai taktik digunakan untuk bergerak dengan sepantas mungkin. Lompatan skipping beramai-ramai juga sangat menyeronokkan. Perlu ada kesatuan semasa beraktiviti.








Acara lain yang ada adalah digging bola tampar berkumpulan, membaling dart, menyusun jigsaw puzzle gergasi, sepak bola ragbi dan lari berganti. Namun yang bagusnya mengenai sukan di sekolah ini adalah, ianya betul-betul melibatkan penyertaan daripada semua pelajar dalam setiap kelas. Tak kira apa saiz, semua bersungguh-sungguh memberikan yang terbaik untuk pasukan masing-masing.


Acara selesai pada jam 3.30 petang, selepas berehat pada jam 1. Sporting habis cikgu-cikgu nya untuk acara pegawai. Jom jemput tengok video camna pelajar-pelajar di Korea nih bersukan. 




Saya pula bergerak pulang dari sekolah lebih awal kerana akan naik bas untuk ke Seoul pada jam 5 petang. Dari rumah saya, berjalan kaki ke stesyen subway yang terdekat dan terus menuju ke stesyen utama di Dongdaegu Station yang menempatkan Stesyen KTX (Keretapi laju) dan juga Stesyen Bas Dongdaegu. 

Untuk kali ini saya cuba menaiki bas untuk ke Seoul. Harga tiket dari Daegu ke Seoul adalah lebih kurang 25 000 Won, yang bersamaan lebih kurang RM90 satu hala perjalanan. Perjalanan bas akan mengambil masa lebih kurang 3 hingga 4 jam bergantung kepada trafik. Tetapi harus diingat, di Korea, ada laluan khas untuk bas disediakan. Maka bas akan bergerak lebih pantas daripada kereta pada sesetengah tempat. 




Manakala jika menggunakan KTX, keretapi laju hanya mengambil masa lebih kurang 2 jam sahaja dari Daegu nak ke Seoul. Harga tiket adalah lebih mahal sekali ganda dan kebiasaannya tiket perlu ditempah lebih awal. Sangat laku! InshaAllah, lain masa saya cuba naik keretapi laju nih plak. Nak ambik pengalaman.  

So, sekolah akan bercuti untuk 5 hari bersempena dengan Chu-Seok Day (Thanksgiving Day). Bagi orang Korea, Chu-Seok adalah masa untuk mereka balik kampung dan berkumpul bersama ahli keluarga sambil makan-makan. Ok, esok tunggu cerita saya di Seoul pula!





Catat Ulasan

1 Ulasan