About Me

Minggu Akhir Sebelum ke Korea

Minggu akhir saya sebelum ke Korea merupakan minggu yang agak sibuk. Oleh kerana melakukan banyak persiapan sebelum ke sana, maka saya cuba cari juga peluang lain untuk mengoptimumkan penggunaan masa untuk bertemu dengan mereka-mereka yang menjadi 'tulang belakang' dan sentiasa menyokong saya.




Kesibukan bermula dengan Majlis Sekalung Budi dan juga Pelancaran Blog Panitia Sains Daerah Kubang Pasu. Majlis Sekalung Budi adalah untuk menghargai jasa-jasa Puan Noriah Mohamad, Pengetua SMK Megat Dewa yang juga merupakan Pengerusi Sains Daerah Kubang Pasu yang akan bersara wajib September nanti.



Beliau merupakan antara Pengetua yang cukup membantu saya dalam memberi panduan menempuh perjalanan sebagai seorang guru. Walaupun baru berkenal pada tahun ini, namun kebaikan beliau, sangat jelas kelihatan. Sedih pula rasa bila beliau dah nak bersara.


Dalam majlis yang sama juga diadakan pelancaran rasmi blog Panitia Sains Daerah Kubang Pasu yang dikendalikan oleh saya. Agak berbangga juga bila Tuan PPD Kubang Pasu sendiri yang merasmikan blog tersebut.



Di sekolah pula Majlis Perpisahan dan Sambutan Hari Lahir diadakan oleh Kelab Guru SMK Jerlun. Program dalam Guru Penyayang nih nampaknya macam kena pula dengan masanya. Kebetulan pula saya akan meninggalkan sekolah untuk 3 bulan, dan hari lahir saya juga pada bulan September. Di samping meraikan beberapa orang lagi guru-guru sandaran yang akan tamat tempoh, terutamanya Cikgu Ruhil yang sejak dari Januari tahun ini lagi.




Selesai majlis pada tengahari itu saya bergegas ke PPD Kubang Pasu untuk Mesyuarat Pertama Majlis Guru Cemerlang Kubang Pasu. Untuk makluman, saya telah dilantik sebagai Naib Yang DiPertua II dalam perjumpaan Guru Cemerlang Daerah Kubang Pasu sebelum ini. Dan ini merupakan kali pertama saya mengikuti mesyuarat Majlis Guru Cemerlang. 


Sempat juga berkenalan dengan beberapa orang guru senior dalam jawatan yang sama. InshaAllah saya cuba akan lakukan yang terbaik bagi membantu meningkatkan akademik di daerah Kubang Pasu ini.

Keesokan harinya saya bersama Puan Noriah Mohammad dan Puan Norseeiah bergerak ke PPD Kubang Pasu bagi sesi bertemu dengan Tuan PPD Kubang Pasu. Tuan PPD ingin mendapatkan maklumat lebih jelas mengenai aktiviti Persatuan Sains Daerah Kubang Pasu dan juga mengenai blog.



Maklumat yang diberikan adalah sangat berguna dalam meningkatkan pengurusan PPD Kubang Pasu ke arah mencapai PPD Terbaik di Malaysia, suatu hari nanti. Amin!


Sebelah petang pula terus bergegas ke Seoul Garden, Alor Setar bagi sesi-sesi makan dengan abang-abang dan kakak-kakak hebat dalam Sains peringkat negeri Kedah. Hubungan yang rapat ini membolehkan kami berkerja dalam suasana yang gembira, macam adik-beradik. 





Terharu juga saya sebab diraikan dalam majlis ini walaupun baru mengenali mereka pada awal tahun nih. Semoga hubungan antara kami akan terus erat dalam membantu meningkatkan lagi pencapaian akademik anak bangsa.


Pada hujung minggu pula, sebaik sahaja selesai kelas pada hari Khamis, terus saya bergerak ke Kuala Lumpur bagi menghantar sebahagian beg untuk di bawa ke Korea nanti. 

Oleh sebab saya ada sesi perkongsian ceramah di sebuah sekolah di Seksyen 26, Shah Alam, maka saya ambil keputusan untuk tinggal di hotel di Seksyen 7, Shah Alam. Sebelah paginya, sempat merayau-rayau ke Laman Seni 7 yang terletak lebih kurang 100m sahaja daripada hotel kami menginap.



Kagum juga dengan hasil seni streetarts oleh pelukis-pelukis Malaysia yang berbakat dan sangat kreatif. Boleh dimajukan lagi kawasan ini menjadi kawasan seni yang popular!


Dari sana, nak menuju ke SMA Hira, tiba-tiba teringatkan seorang kawan lama yang sekali posting kat sekolah di Sarawak dulu, iaitu Cikgu Bazlin. Beliau sekarang mengajar di SMK Seksyen 26, dan rupanya sekolah beliau berada di jalan yang sama untuk menuju ke sekolah ceramah saya.



Dah alang-alang hampir 8 tahun tak berjumpa, maka saya ambil kesempatan untuk melawat beliau dahulu di sana. Bertanya khabar. Cantik rupanya sekolah beliau nih. Penuh dengan hasil lukisan dan mural yang cantik-cantik. Berseni sungguh orang-orang Shah Alam nih yer!


Dari sana, saya menuju ke Politeknik Shah Alam. Tujuannya adalah bagi menunaikan solat jumaat di sana dan juga bertemu dengan seorang lagi pelajar saya yang datang dari Sarawak, iaitu Petrus Manjan. Manjan yang juga merupakan pemain sofbol saya yang kedua terpilih mewakili negeri Sarawak untuk ke peringkat kebangsaan  yang berlangsung di Pulau Pinang.



Bangga juga apabila melihat anak murid dari jauh datang belajar sampai ke Semenanjung. Saya doakan semoga beliau terus sukses lepas nih.


Daripada sana, saya bergerak ke SMA Hira yang terletak lebih kurang 15 minit dari sana. Sesi perkongsian bersama adik-adik di sini berlangsung hampir 2 jam setengah. Baik-baik jer budaknya.




Saya doakan anda semua berjaya dapat keputusan yang cemerlang dalam PT3 nanti, terutamanya bagi subjek Sains! Amin!


Perjalanan untuk ke rumah kakak saya di Gombak pula, sempat saya curi-curi masa untuk bertemu dengan seorang lagi rakan lama. Kali ini lagi lama, sebab saya mula mengenali Pok Chak nih sejak daripada zaman universiti lagi semasa di USM dulu. 



Rasanya hampir 8 tahun tak berjumpa dengan beliau. Excited tak tau nak cerita. Sebelum nih hanya berhubung melalui SMS, telefon dan whatsapp. Akhirnya ada juga peluang nak berjumpa dengan beliau yang sibuk dan makin maju dengan kerjaya beliau sebagai seorang ejen insuran.


Pagi Sabtu pula saya keluar awal bagi menghadiri hari terakhir berlangsungnya KL Converge 2015. Ini tahun kedua saya menghadiri pameran ICT dan gajet yang bertaraf antarabangsa tersebut.





Sayang sedikit sebab tak dapat nak sertai sesi pitching bagi Liga Remaja Kreatif untuk kategori web portal sebab lambat tiba. Apa pun, pengalaman lain sangat berharga dalam meningkatkan ilmu pengetahuan dengan kemajuan teknologi ICT terkini.

Tengahari saya mula bergerak pulang menuju ke Perlis. Dalam perjalanan pulang, singgah sebentar di Rawang bagi bertemu dengan Azhan, pelajar SMK Bandar Tasik Puteri. Beliau yang saya kenali sejak tahun lepas semasa majlis penyampaian hadiah Liga Remaja Kreatif 2014 peringkat kebangsaan, masih berhubung sehingga kini.



Peluang bertemu juga untuk saya ucapkan selamat maju jaya dan good luck untuk SPM nanti. Sebab rasanya tak sempat saya nak bertemu lagi sebelum beliau SPM.


Hah.. minggu yang memenatkan kan? Tapi saya masih rasa gembira sebab banyak perkara yang saya lalui dan saya dapat pada sepanjang minggu lepas yang pendek. Nikmati hidup dengan sebaik mungkin. Semua orang dapat 24 jam masa yang sama. Hanya yang menggunakan dengan baik, akan menikmati indah nya kehidupan! ;)


Catat Ulasan

0 Ulasan