Bagi kami di Daegu nih, memang rasa sangat teruja nak jumpa dengan Jay. Kali terakhir jumpa dengan Jay adalah selepas tamat program penutupan bagi local adjustment di Seoul. Dan rupanya baru tahu beliau juga merupakan anak jati Daegu!
Untuk kunjungan beliau kali ini, beliau akan memantau kelas Hanne. Kebetulan juga saya tiada kelas, maka hanya Hanne yang akan menjadi guru yang dipantau. Mujur juga bukan saya. Apatah lagi masih berserabut dengan perbincangan antara guru Sains yang belum lagi mencapai kata sepakat apa-apa. Kelabu asap lagi saya nih.
Hanne mengajar lagu tradisional Melayu, Lenggang Kangkung dengan menggunakan alat tradisional Korea, iaitu Danso. Danso nih adalah sejenis seruling. Bezanya ditiup seperti menggunakan rekoder. Bukan dari arah tepi, macam seruling.
Pengajaran beliau saya rasakan sangat menarik. Beberapa perbezaan antara tradisional Malaysia dan Korea juga membantu pelajar untuk memahami tujuan pembelajaran dengan lebih baik. Paling penting, guru yang bekerjasama dengan beliau juga, Jung Songsaenim sangat memberikan bantuan dengan menterjemahkan kepada pelajar dan menerangkan kembali dalam bahasa Korea jika diperlukan.
Selesai sahaja kelas, kami semua terus bergerak ke kedai makan Itali yang terletak tidak jauh daripada sekolah. Semasa menjamu selera, sempat juga Jay mengutarakan banyak pertanyaan sama ada kami di Daegu ini menghadapi masalah atau pun tidak, memandangkan kami jauh berbanding rakan lain di Seoul.
Dah tentu semuanya ok!. Dapat juga saksikan Jay yang lega apabila mendengar jawapan kami, beserta layanan yang diberikan kepada kami oleh rakan-rakan guru di Daegu Girls Commercial High School. Jay kemudiaanya terus bergerak kembali ke Seoul, pada malam itu juga kerana akan ke Filipina esoknya bagi tujuan observe guru Korea di Filipina pula.
0 Ulasan