Semuanya bermula apabila saya melihat iklan mengenai Seminar KL Edtech 2016 ini di laman facebook seorang rakan. Tertarik dengan seminar tersebut, maka saya ambil peluang untuk beranikan diri menghubungi urusetia yang menguruskan KL Edtech menerusi laman page GEG Malaysia.
Alhamdulillah. Segala pertanyaan saya dijawab dengan baik dan setiap persoalan saya diberikan jawapan yang memuaskan hati saya. Terutama sekali berkaitan dengan bentuk perkongsian. Ini kerana saya juga bukanlah mahir sangat dengan hal-hal yang berkaitan dengan pembentangan di seminar seperti ini.
Mula-mula niat saya adalah untuk berkongsikan pengetahuan mengenai "Penggunaan Media Sosial sebagai Platform Perkongsian Dalam Kalangan Guru". Tajuk yang sama seperti ketika pembentangan di Seminar PLC peringkat negeri Sarawak pada tahun 2014. Dengan lingkungan audiens yang berbeza, saya yakin akan mampu memberikan input positif kepada perkongsian tersebut.
Walaubagaimanapun, terlintas di fikiran saya juga untuk berkongsikan pengalaman 3 bulan berada di Korea. Memandangkan KL Edtech merupakan seminar yang lebih berfokuskan kepada ICT maka, agak sesuai jika perkongsian pengalaman tersebut dikhususkan terus kepada "Perkongsian Pengalaman : Penggunaan ICT dalam Pendidikan di Sekolah Korea".
Rakan sepasukan KOMTEP 2015 dihubungi, dan hasilnya ada 2 orang lagi yang akan bersama-sama saya untuk membentangkan perkongsian dengan tajuk di atas. Mereka adalah Cikgu Siti Zubaidah dan juga Cikgu Pauline Foong. Beberapa orang rakan lain terpaksa menolak kerana urusan peribadi masing-masing pada tarikh berkenaan. Takpe. Janji perkongsian tersebut dapat disampaikan kepada lebih ramai khalayak. Itu misi kami.
Segala urusan yang berkaitan dengan pendaftaran, pengesahan dan juga penyerahan bahan pembentangan adalah menggunakan aplikasi Google. Huhuhu. Fail betul saya bab nih. Terkial-kial nak gunakan segala aplikasi Google tu. Apatah lagi ada beberapa kesilapan saya yang menyebabkan keadaan jadi lebih rumit.
Mujur juga pihak urusetia telah bersusah payah membantu menguruskan segalanya dengan lancar sekali. Walaupun beberapa kali terpaksa melayan saya yang kurang mahir dengan segala aplikasi Google itu, tetapi bantuan demi bantuan tetap mereka hulurkan bagi memastikan segalanya berjalan dengan lancar pada hari KL Edtech berlangsung. Tahniah saya ucapkan kepada para urusetia. Terutamanya Cikgu Normi (GEG Gombak) yang sangat banyak membantu!
Majlis berlangsung di IPGM Kampus Bahasa Melayu. Nasib baik lah sebab dah biasa dengan IPGM Kampus Bahasa Melayu nih setelah seminggu berorientasi di IPGM Kampus Bahasa Antarabangsa sebelum berangkat ke Korea pada tahun lepas. Maka perjalanan menjadi lebih mudah berbanding sebelumnya. Hahahaha. Mudah sungguh sampaikan sejam sebelum majlis bermula, saya dah sampai kat tempat parking. Punya semangat!
Setibanya di Dewan Zaaba, maka semua perlu mendaftarkan diri sebagai peserta atau pun sebagai pembentang. Setiap peserta menerima beg yang mengandungi goodies daripada pihak GEG dan juga tag nama. Manakala bagi pembentang pula, beg mengandungi goodies serta t-shirt merah yang sama seperti para urusetia. Tak lupa juga tag nama dengan design yang menarik.
Semua peserta dihimpunkan di dewan besar bagi sesi taklimat dan upacara perasmian. Saya bersama Cikgu Siti Zubaidah dan juga Cikgu Pauline Foong, sudah bersedia dengan pembentangan kami masing-masing. Sempat juga dalam masa menunggu tersebut, saya menerima hadiah buah tangan dari Jepun daripada Cikgu Nurmazlina Yaakub, seorang kenalan facebook. Terima kasih!!!
Tak sempat nak menghayati ucapan daripada pihak yang akan merasmikan, saya telah dijemput oleh seorang urusetia untuk melakukan persiapan di bilik pembentangan. Wah! Mula terasa debarannya. Daripada Dewan Zaaba ke bilik pembentangan sebenarnya agak jauh dan lokasinya juga terpencil serta sukar dicari tanpa petunjuk. Mujur juga ada adik-adik IPGM Kampus Bahasa Melayu yang membantu menunjuk jalan.
Memandangkan saya adalah pembentang pertama bagi Bilik 3, maka persiapan yang dilakukan di bilik tersebut adalah agak kurang persediaan. Saya sendiri yang set up kan semua kelengkapan termasuk juga LCD Projektor dan sound system. Nasib baik, masa masih panjang maka segala persiapan dapat dilakukan dengan baik.
Pembentangan saya sepatutnya bermula pada jam 10-11 pagi. Tetapi sesi hanya dapat dimulakan pada jam 10.20 pagi kerana majlis perasmian yang terlajak masa. Apa pun saya cuba sebaik mungkin untuk berkongsikan pengalaman dan pengetahuan saya melalui tajuk pembentangan "Penggunaan Media Sosial Sebagai Platform Perkongsian Ilmu Dalam Kalangan Guru".
Bagi tajuk perkongsian ini, saya mulakan dengan bagaimana saya boleh terlibat dalam dunia penulisan blog dan juga media sosial. Sedikit sejarah saya di sekolah lama, sehingga lah kepada perkara yang menyebabkan saya perlu wujudkan blog. Kemudian saya teruskan perkongsian dengan menyatakan apa yang saya kongsikan menerusi media sosial. Dan sudah tentu, apa yang saya dapat setelah 3 tahun aktif dalam bidang penulisan blog.
Di akhir perkongsian juga, saya turut memberi beberapa tips dan petua untuk berblogging bagi guru yang berminat. Sesi berakhir dengan menjawab beberapa pertanyaan daripada audiens. Semestinya soalan mengenai bagaimana saya membahagikan masa menulis dengan bidang kerja saya menjadi soalan wajib. InshaAllah saya dah berikan penjelasan dengan sebaik mungkin bagi rakan guru yang berminat untuk meneruskan misi menambah kandungan Malaysia dalam dunia internet.
Sempat juga meluangkan masa untuk bergambar kenangan dengan beberapa rakan guru yang saya mula kenali di KL Edtech 2016 ini seperti Cikgu Marziean, Cikgu Salwa dan rakan-rakan mereka yang sangat havoc sepanjang sesi perkongsian berlangsung.
Kemudian sementara menunggu sesi pembentangan kedua bersama kumpulan KOMTEP 2015, saya, Cikgu Pauline Foong dan Cikgu Siti ZUbaidah terus menanti di bilik yang sama. Kali ini adalah sesi perkongsian mengenai Kahoot. Aplikasi Online games yang boleh dijalankan di dalam kelas bagi menarik minat pelajar. Serius saya suka dan pasti akan cuba gunakan suatu hari nanti!
Sesi pembentangan kumpulan KOMTEP 2015 bermula pada jam 12 tengahari sehingga jam 1 petang. Tajuk pembentangan yang kami bawakan adalah "Perkongsian Pengalaman : ICT Dalam Pendidikan Korea".
Pembentangan dimulakan dengan pengenalan mengenai program KOMTEP 2015. Kemudian diikuti dengan serba sedikit sejarah perkembangan ICT dalam pendidikan Korea. Perkongsian diteruskan dengan memfokuskan terlebih dahulu kemudahan ICT dalam sekolah, terutamanya yang berada di dalam kelas untuk pdp. Beberapa kemudahan ICT lain yang berada di sekitar sekolah serta yang mampu memudahkan lagi segala urusan yang berkaitan dengan pendidikan.
Sesi perkongsian berlangsung dengan baik. Saya, Pauline dan Zubaidah mengambil giliran masing-masing bercerita mengikut pengalaman masing-masing. Bagi saya, ianya berjalan dengan lancar seperti yang kami rancangkan. Sesi soaljawab juga menunjukkan respon audiens yang ternyata cukup kagum dengan perkembangan pendidikan di Korea. Semoga suatu hari nanti, sistem pendidikan di Malaysia juga mampu setaraf dengan mereka.
Selesai perkongsian, semua peserta KL Edtech 2016 bergerak sekali lagi ke Dewan Zaaba bagi acara penutup. Cabutan bertuah yang diadakan langsung tidak menyebelahi saya pada hari tersebut. Hahahaha. Sedikit refleksi dijalankan secara menyeluruh oleh pihak urusetia dan juga para peserta.
Saya pula secara jujurnya ternyata sangat berpuas hati dan gembira kerana adanya KL Edtech 2016 yang memberikan saya dan rakan-rakan KOMTEP saya peluang terbaik untuk kami berkongsi pengalaman, pengetahuan kami seperti yang telah kami bentangkan.
Peluang berada di sini juga adalah peluang terbaik untuk kami mewujudkan rangkaian baru guru-guru yang sama-sama mahu meningkatkan mutu pendidikan negara kita ke arah sesuatu yang lebih positif.
Betapa ramainya guru-guru yang saya jumpa di sini, menunjukkan komitmen dan semangat yang tinggi dalam usaha memartabatkan pendidikan Malaysia. Tak lokek ilmu. Dan juga tak lokek tenaga untuk sentiasa menambah ilmu dengan menyertai program sebegini.
Kesempatan bertemu dengan beberapa orang kenalan facebook saya sebelum ini seperti Cikgu Rina, Puan Shamzazila serta peluang berkenalan dengan rakan guru seperti Cikgu Yasser dan Cikgu Normi, inshaAllah akan memberikan impak baru dengan semangat yang segar untuk kita sama-sama bergerak.
Majlis penutupan selesai pada jam hampir 5 petang. Temujanji saya dan Cikgu Pauline bersama Puan Siti Maryam dan Puan Aida, pegawai meja program KOMTEP 2015 juga terus berlangsung dengan sesi makan-makan dan santai. Banyak juga perkara yang dapat dikongsikan dengan mereka, terutamanya yang berkaitan dengan program selepas kembali ke Malaysia.
Malam pula sempat saya meluangkan masa bersama seorang bekas pelajar daripada sekolah lama saya di Sarawak, Nicholas Ampong. Beliau juga merupakan seorang pelatih guru yang sekarang menuntut di IPGM Kampus Bahasa Melayu. Memang seronok mengimbau kenangan bersama anak murid sepanjang 8 tahun berada di Sarawak.
Alhamdulillah, penganjuran KL Edtech 2016 ini saya lihat merupakan platform terbaik untuk golongan pendidik yang sentiasa dahagakan ilmu terutamanya ilmu berkaitan ICT dan pendidikan. Banyak ilmu yang diperolehi sepanjang berbengkel 1 hari di IPGM Kampus Bahasa Melayu ini.
Semoga lebih banyak penganjuran seminar-seminar seumpamanya di lebih banyak tempat di negara kita. Saya yakin, cikgu-cikgu di Utara dan di Selatan juga pasti mahu merasakan pengalaman seperti mana saya dan rakan saya rasai di KL Ed tech 2016! Tahniah untuk penganjur!
9 Ulasan
blehla datang ke seminar3i Kedah d kulim ;)
BalasPadamwoot gambar kami terabadi di dalam ni... nanti kita havoc lagi na ckgu hailmi ;)
BalasPadamHebat
BalasPadamHebat
BalasPadamHeeeeeeeeeeeeee.....mekasih na...wehhh glemer seketika ada gambaq geng2 kami kat dalam blog nie....
BalasPadamTahniah cikgu. Jumpa lagi nanti di KL EdTech Day 2017
BalasPadamIzin berkunjung dan nyimak langsung artikelnya gan? :)
BalasPadamAlhmdulillah.. Program yang sangat ilmiah. Moga dapat teruskan pada masa-masa akan datang agar lebih ramai yang dapat manfaatnya.
BalasPadamMacam nak jemput Cikgu Hailmi bagi ceramah pada kami di JB je.. Tahniah cikgu.. Pengalaman cikgu tu amat berharga.
BalasPadam