About Me

Rombongan Korea ke SMK Jerlun

Betapa gembiranya saya bila mendapat tahu daripada guru mentor, Kim sonsaengnim bahawa mereka akan datang berkunjung ke Malaysia. Apatah lagi, rombongan akan disertai oleh tuan Pengetua, Mr Bae dan juga 'kakak' noona kesayangan saya, Madam Park Geu Mi. Memang rindu sungguh nak bertemu dengan mereka setelah 3 bulan berpisah.


Rombongan Korea ke SMK Jerlun


Rombongan Korea ini disertai oleh 7 orang guru dan bekas guru. Ada yang saya kenali, dan ada juga yang saya tak kenali kerana belum pernah bertemu dengan mereka selama ini. Perancangan awalnya, mereka akan ke Pulau Pinang bagi melawat rakan seKOMTEP saya, Hanne di SMK Bukit Jambul dan seterusnya akan bergerak ke sekolah saya, SMK Jerlun di Kedah.


Dari awal lagi Mr Kim asyik maklumkan kepada saya bahawa mereka tidak mahu acara sambutan yang berlebihan. Lagipun mereka datang atas tujuan tidak rasmi. Sekadar mahu melawat saya dan sekolah saya. Walaubagaimanapun atas nasihat Pengetua, Puan Rogayah maka pihak sekolah masih mengadakan sambutan. Lebih-lebih lagi ini pertama kali kami menerima tetamu antarabangsa.


Rombongan Korea ke SMK Jerlun


Kebetulan nak jadi cerita juga, pada hari berkenaan, di sekolah kami juga ada aktiviti bersama pihak polis bagi program NBOS Program Remaja Berwawasan. Maka meriah lah juga dengan pameran dan juga persembahan daripada pasukan unit K9 anjing pengesan.


Rombongan Korea tiba pada jam lebih kurang 11 pagi. Memang sangat gembira saya melihat mereka semua selamat tiba di SMK Jerlun. Tak sabar rasanya nak tunjukkan sekolah saya kepada mereka. Sempat juga guru mentor saya, Mr Kim mengatakan saya semakin 'sihat' sejak pulang dari Korea. Hahahaha. 


Program yang pihak sekolah namakan sebagai 'Program Silang Budaya Malaysia - Korea' ini kemudiannya bergerak ke bilik mesyuarat. Sebelum masuk ke bilik mesyuarat, kami dihiburkan terlebih dahulu dengan persembahan daripada anak-anak SMK Jerlun. Tarian sambut tetamu yang diuruskan oleh Puan Mariah. 




Rombongan Korea ke SMK Jerlun


Saya lihat rombongan Korea rasa sangat teruja melihat persembahan tersebut. Apatah lagi ini mungkin pertama kali melihat persembahan sedemikian rupa. Saya gembira kerana mereka terhibur dengan persembahan tersebut.


Sedikit ucapan kata-kata aluan daripada pihak sekolah yang dipengerusikan oleh Cikgu Laila, ketua panitia Bahasa Inggeris di sekolah. Kemudian, wakil sekolah Cikgu Md Noor bertindak memberi ucapan selamat datang kepada rombongan Korea. Ucapan selamat kemudiannya disambut oleh ucapan terima kasih daripada rombongan Korea, tuan Pengetua Mr Bae sendiri. 


Rombongan Korea ke SMK Jerlun


Tak lupa juga pihak sekolah menyampaikan sedikit cenderamata kenang-kenangan kepada pihak sekolah Daegu Girls Commercial High School. Dan seperti yang telah saya jangka, mereka juga ada menghulurkan cenderamata kepada SMK Jerlun. Jalinan antarabangsa.




Selesai acara di bilik mesyuarat, kami bergerak ke bilik-bilik lain untuk lawatan kawasan sekitar sekolah. Rombongan Korea dibawa ke Bilik Muzik bagi satu lagi acara persembahan live band daripada band sekolah yang dibimbing oleh Cikgu Azman. Seperti biasa, memang mereka sangat menghargai bakat dan usaha para pelajar yang ditunjukkan. Tepukan gemuruh daripada mereka untuk persembahan tersebut.




Dari sana, kami bergerak ke makmal Sains yang diselia oleh saya. Tanpa pengetahuan mereka, saya telah sediakan satu surprise untuk mereka. Iaitu sebuah banner menyambut mereka, yang dihias dengan gambar kenangan ketika saya berada di Korea. Belon dan bendera Malaysia dan Korea melengkapkan lagi hiasan dalam makmal sains tersebut.

Teruja juga mereka melihat saiz makmal sains yang jauh lebih besar berbanding makmal sains di sekolah mereka. Paling menarik perhatian mereka tentulah banner untuk sambutan mereka. Banyak cerita mereka keluar bila melihat gambar-gambar kenangan kami ketika berada di Daegu Yeosang. 


Rombongan Korea ke SMK Jerlun


Dari sana, kami bergerak menuju ke kantin untuk makan tengahhari. Bagi bahagian makanan, Cikgu Siti Meriam diberi tanggungjawab untuk menyediakan apa yang sesuai dengan rombongan Korea. Hasil dari perbincangan maka makanan tempatan seperti laksa, bahulu, ikan keli bakar dan minuman air kelapa disediakan.






Ternyata memang sesuai dengan tekak mereka. Tak sangka pulak minat sungguh mereka dengan laksa dan air kelapa. Mungkin sebab tiada di negara mereka, maka makanan ini menjadi sangat istimewa untuk mereka.

Selesai di kantin, mereka mengambil peluang untuk masuk dan bergambar bersama pelajar SMK Jerlun di dalam kelas. Para pelajar pula sangat gembira menerima rombongan Korea ke sekolah kami, apatah lagi ini adalah pertama kali rombongan dari negara luar yang sudi singgah ke sekolah kampung kami ini. Memang seronok sangat!








Akhirnya, tibalah masa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada mereka. Dari sini, kami akan bergerak untuk sesi lawatan ke Pulau Langkawi. Rombongan Korea sudah tidak sabar lagi nak merasa pengalaman berkunjung ke Pulau Langkawi. Buat sementara waktu ini, "goodbye SMK Jerlun. Until we meet again!" :D 




Catat Ulasan

3 Ulasan

  1. Mula2 setinggi2 tahniah saya ucapkan kepada cikgu. Cikgu hebat!
    Saya menemui blog ini ketika saya tercari2 bahan2 bacaan ttg isu2 pendidikan sbg persediaan menghadapi sesi temuduga esok di ppd saya. Alhamdulillah.. Penulisan "cikgu hebat" banyak membantu saya. Semoga cikgu terus sihat dan bersemangat. Terima kasih.

    BalasPadam
  2. Cikgu Hailmi, apakah cara jika saya tidak mahu guna template web versi telefon mobile untuk blog saya. Saya disable mobile template dalam Blogger Template, tetapi tiada kesan, semasa saya layari website dengan telefon bimbit, web saya masih mobile template.

    BalasPadam