Peer Coaching bersama Guru SMK Jalan Tiga, Selangor |
Objektif utama kehadiran lebih 20 orang guru daripada SMK Jalan Tiga, Selangor ini adalah bagi tujuan melihat sendiri pelaksanaan amalan PAK21 saya dalam bilik darjah. Dan yang paling saya kagum adalah kesemua guru yang hadir mengeluarkan kos sendiri bagi perjalanan dan juga penginapan sepanjang mereka datang ke SMK Jerlun ini.
Bagi menunjukkan betapa seriusnya komitmen sekolah kepada usaha meningkatkan kualiti guru, maka tuan Pengetua, Encik Ishak juga ikut serta dalam rombongan, yang merupakan satu-satunya peserta lelaki yang ada.
Perancangan awal daripada pihak SMK Jalan Tiga juga sangatlah rapi. Malah bagi memastikan sesi peer coaching ini berjalan dengan baik dan berkesan sekali, maka soalan-soalan yang menjadi tanda tanya mereka selama ini berkaitan PAK21 juga sudah diberikan dua minggu sebelum kehadiran mereka.
Melihatkan usaha dan kesungguhan guru-guru ini, serta tidak mensia-siakan kedatangan tetamu dari jauh ini, maka saya juga sudah membuat persiapan seawal seminggu sebelum menyambut mereka. Ini termasuk merancang aktviti pdpc yang akan dijalankan pada hari tersebut.
Kelas yang saya pilih adalah kelas 2 Arif, dengan tajuk Ciri-Ciri Fizikal Air. Aktivti yang saya cadangkan adalah murid mencari maklumat berkaitan dengan topik pembelajaran dan menghasilkan produk dalam bentuk Big Book.
Bagi memastikan sesi peer coaching ini mencapai objektif, maka saya briefing guru-guru tersebut terlebih dahulu, apa yang perlu mereka perhatikan pada sesi pdpc saya. Antaranya adalah seperti kemahiran 4K1N, teknik penyoalan saya kepada murid dan juga peranan guru sebagai fasilitator.
Sesi pengajaran juga berlangsung dengan baik, menurut perkiraan saya. Penggunaan teknologi memang sengaja saya minimumkan bagi menunjukkan kepada peserta peer coaching, bahawa teknologi bukanlah segala-galanya bagi Pembelajaran Abad ke-21. Teknologi sebagai tools bagi membantu guru 'mengikat' murid dengan aktiviti pembelajaran.
Justeru itu, tanpa teknologi juga pembelajaran abad ke-21 masih boleh dijalankan sekiranya guru berupaya memberikan pendekatan pembelajaran yang berpusatkan murid, dengan keupayaan untuk mengembangkan kemahiran 4K1N murid bagi menyediakan mereka dengan kemahiran penting abad ke-21.
Selesai sesi di makmal, kami teruskan dengan perkongsian di bilik mesyuarat. Kali ini saya berkongsikan secara keseluruhan kefahaman Pembelajaran Abad ke-21, bersama dengan carta alir penggunaan tools dan strategi bermula saya masuk kelas, hinggalah saya keluar.
Tak lengkap juga perkongsian jika tak ditunjukkan juga apa impak yang budak-budak saya dah dapat daripada hasil pembelajaran dengan menggunakan pendekatan PAK21 ini. Perubahan sikap, peningkatan akademik dan juga kreativiti serta bagaimana pendekatan ini telah berjaya melahirkan murid yang independent learner.
Secara keseluruhannya, saya merasakan sesi peer coaching bersama guru SMK Jalan Tiga ini sangat berjaya. Perancangan yang teratur daripada kesemua pihak yang terlibat telah membuatkan sesi ini begitu objektif dan mencapai sasaran. Dari pihak saya, semoga perkongsian dan aktiviti PLC seperti ini mampu memberi manfaat kepada saya dan juga guru SMK Jalan Tiga secara khususnya.
Bagi yang berminat untuk menyaksikan video penuh sesi peer coaching saya bersama guru sains SMK Jalan Tiga, boleh lah tonton di Youtube di bawah. Saya sertakan juga penerangan pada setiap fasa yang terlibat, bagi memudahkan guru untuk faham apa yang saya buat dan kenapa. Semoga bermanfaat!
p/s: Tahniah juga buat Encik Ishak, Pengetua SMK Jalan Tiga yang telah dinaikkan pangkat sebagai Tuan PPD Hulu Langat bermula 9 Mei yang lalu. Berita baik selepas kejayaan misi rombongan ke SMK Jerlun. Tahniah tuan!
0 Ulasan