SEJARAH SEKOLAH
Sekolah ini terletak kira-kira 55 km dari Bandar
Limbang, di Utara Negeri Sarawak. Lokasinya terletak betul-betul di tengah hutan
belantara. Untuk ke sekolah ini anda boleh menggunakan kenderaan pacuan 4 roda melalui
jalan balak ataupun menggunakan bot panjang menyusuri Sungai Lubai dengan
sejam perjalanan dari pekan kecil Medamit. Sekolah ini
merupakan sekolah terakhir di hulu Sungai Lubai.
Sekolah Kebangsaan Ulu Lubai dibuka pada 1964
dan pernah ditutup pada 1976 sebelum dibuka semula setahun selepas itu dengan
hanya mempunyai 30 orang murid yang dibimbing oleh 11 orang guru dengan bantuan
seorang staf sokongan. Sekolah ini serba sederhana dari segi infrastruktur
dengan bangunan kayu lama manakala satu-satunya binaan konkrit hanyalah tandas
kegunaan murid dan guru.
Pada mulanya, sekolah ini ditadbir majlis daerah
sebelum diambil alih Kementerian Pelajaran dengan bahasa Inggeris sebagai
bahasa pengantar. Guru Besar ialah Jaul anak Bunyau yang menerajui sekolah
tersebut sejak 1998.
Sekolah ini hanya terdiri daripada 12 guru
termasuk guru besar serta 39 murid yang merupakan penghuni rumah panjang Tunggang,
Pasir Panjai, di bahagian Limbang.
PENCAPAIAN dan KEISTIMEWAAN SEKOLAH
SK Ulu Lubai merupakan sekolah luar bandar
pertama di Malaysia yang dinobatkan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT)
Kohort Dua oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin pada tahun
2011.
Ujian Pencapaian Sekolah Rendah
(UPSR)
dengan keputusan 100 peratus lulus sejak 2006 sehingga 2010, menjadikannya
sebagai sekolah rendah terbaik di negeri Sarawak dan juga di Malaysia.
Pencapaian lain antaranya pernah mendapat
pengiktirafan sebagai sekolah terbaik dalam daerah Limbang sebanyak 46 kali,
peringkat negeri Sarawak sebanyak 13 kali dan peringkat kebangsaaan sebanyak 5
kali.
Kenangan paling manis apabila sekolah ini
juga dinobatkan sebagai Johan Anugerah Commonwealth Education Good Practice
Award 2009 dan finalis anugerah yang sama daripada Sekretariat Komanwel dan
Kerajaan Malaysia. Ia turut dicalonkan untuk UNESCO Educational International
Best Practices 2010.
Selain itu, sekolah ini juga aktif dalam menjalin
hubungan kerjasama antarabangsa dengan University Bristol, United Kingdom (UK),
Jin Shan Primary School, Singapura dan Kingsford Community School serta
Deptford Green School, di United Kingdom.
BUDAYA
SEKOLAH dan KUNCI KEJAYAAN
Setiap pelajar di sekolah tersebut mampu bertutur Bahasa
Inggeris dengan sangat baik. Bagi membudayakan perkara ini, sekolah telah
melancarkan Program English Language in School (ELIS). Pada mulanya, murid agak
kekok.
Namun berkat kesungguhan semua pihak, dengan strategi yang berkesan, kini murid-murid tersebut dapat bertutur Bahasa Inggeris dengan lebih baik daripada budak di bandar-bandar besar! Malah mereka juga mengamalkan budaya yang sama ketika bersama keluarga ketika berada di rumah panjang.
Pelajar juga mampu menunjukkan sifat kepimpinan yang
sangat tinggi. Murid-murid berusia bawah 12 tahun ini sudah mampu menguruskan
pelbagai perkara, bangun pagi dan ke sekolah pada jam 5.30 pagi! Ini bagi
tujuan membersihkan kawasan sekolah, termasuk bilik darjah dan juga tandas.
Pelajar juga mampu untuk menguruskan perhimpunan dan semua majlis yang
berlangsung di sekolah!
Sekolah yang dalam serba kekurangan ini juga mampu untuk
melahirkan atlet bertaraf negeri, bahkan sampai ke peringkat kebangsaan. Dengan
kedudukan tempat lompat jauh yang terletak di antara bangunan kelas dan dengan
menggunakan peralatan sukan yang ketinggalan, ini langsung tidak menjadi
halangan kepada murid-murid untuk cemerlang dalam sukan!
Murid-murid akan mengulangkaji pelajaran di
rumah panjang sekurang-kurangnya satu jam untuk setiap malam dengan ditemani
ibu bapa masing-masing dan akan dipantau oleh seorang guru. Di rumah panjang
mereka juga, terdapat satu jawatankuasa belajar malam yang akan memantau
perkembangan pendidikan anak-anak ini.
Guru Besar SK Ulu Lubai sejak 1998, Jaul Bunyau berkata,
kunci kepada kejayaan sekolah itu ialah kerjasama erat daripada ibu-bapa kerana
merekalah yang paling dekat dengan sekolah.
Katanya, mengharapkan orang luar untuk membantu sekolah di pedalaman seperti SK Ulu Lubai amat sukar kerana keadaannya terpencil manakala prasarananya amat terhad. "Jadi kita kena libatkan komuniti setempat dan guru-guru pula tidak boleh terpisah dengan masyarakat," katanya.
Katanya, mengharapkan orang luar untuk membantu sekolah di pedalaman seperti SK Ulu Lubai amat sukar kerana keadaannya terpencil manakala prasarananya amat terhad. "Jadi kita kena libatkan komuniti setempat dan guru-guru pula tidak boleh terpisah dengan masyarakat," katanya.
p/s: Semoga kisah kejayaan SK Ulu Lubai ini mampu menjadi
inspirasi kepada sekolah-sekolah di luar sana, untuk tampil cemerlang, gemilang
dan terbilang di persada dunia!
3 Ulasan
Moga situs nih lebih baik
BalasPadamTahniah kpd semua guru yg berkhidmat di SK.Ulu Lubai
BalasPadamTahniah. Sekolah and dijadikan contoh kecemerlangan dlm kursus.
BalasPadam