About Me

Lawatan Sambil Bersukan ke Tokong Terbesar di Malaysia / Asia Tenggara

Cuti sekolah kali ini, walaupun untuk seminggu sahaja, namun tak dapat sangat nak merasa feel cuti. Ini kerana pada awal minggu sebaik sahaja cuti persekolahan bermula, sekolah saya sibuk dengan Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform 2013. Setelah aktiviti perkhemahan berakhir pada hari Isnin, pada hari Rabu pula saya mula sibuk dengan Kem Intensif Sofbol Masa Cuti Sekolah. 
 
Kem Intensif Sofbol Masa Cuti Sekolah ini saya adakan kerana Kejohanan Sofbol MSS Sibu 2013 yang bakal berlangsung pada minggu hadapan, minggu sebaik sahaja selepas cuti sekolah. Mahu tak mahu, terpaksa juga saya dan para pemain semua mengorbankan masa cuti sekolah kali ini untuk datang semula ke sekolah bagi menjalani sesi latihan walaupun masing-masing masih nak lagi bercuti.

Sesi latihan berjalan seperti biasa bermula pada hari Khamis. Kesemua 13 pemain lelaki dan 16 pemain perempuan dapat menghadirkan diri ke sekolah seperti yang telah ditetapkan. Seronok juga dapat mengadakan sesi latihan kerana hanya pasukan sofbol sahaja yang berada di sekolah pada ketika ini. Jadi dapat menggunakan kemudahan padang dengan semaksimum mungkin, kerana pada kebiasaannya padang sekolah pasti padat dengan pemain hoki, bola sepak 15, bola sepak 18 dan bola baling untuk 4 kategori.



Acara yang paling menarik? Pada hari Sabtu, seperti yang telah lama saya rancangkan, kami mengadakan aktiviti jogging ke sebuah Tokong yang dikatakan merupakan kompleks tokong yang terbesar di Malaysia dan juga dipercayai di Asia Tenggara, iaitu Tokong Jade Dragon atau pun dalam Bahasa Cina nya, Yu Lung San Tien En Si.


Destinasi ini dipilih kerana lokasinya yang berdekatan dengan kawasan sekolah dan juga merupakan tempat tumpuan para pelancong. Sekalipun hanya 6km dari sekolah, namun hanya sebilangan kecil sahaja pelajar yang pernah ke tokong ini. Jadi, sekurang-kurangnya dengan adanya aktiviti ini juga dapat menambahkan lagi pengetahuan pelajar terhadap adab-adab melawati rumah ibadat. 

Keindahan senibina di kompleks tokong tersebut juga sangat lah hebat, memandangkan hampir kesemua bahan dan juga tukangnya semua didatangkan khas dari negara China!



Jadi oleh sebab tak nak berlari dalam panas terik, maka kami pun memulakan larian dari sekolah pada seawal 7.20 pagi. Bimbang juga saya dengan keselamatan para pelajar, lebih-lebih bila melibatkan aktiviti di luar kawasan sekolah. Namun setelah memberi penerangan pada pelajar, dengan juga pemantauan daripada pemain senior, saya merasa lebih yakin dengan perjalanan ini.



Seperti biasa sebelum memulakan larian, sesi memanaskan badan dan regangan dibuat bagi memastikan para pelajar dalam keadaan bersedia untuk berlari. Seterusnya, jom lari!



Saya berada pada kedudukan paling akhir bagi memastikan semua pelajar selamat tiba di destinasi yang dituju. Perjalanan yang memakan masa hampir satu jam itu berakhir pada pukul 8.20 pagi. Beberapa pelajar yang pada mulanya asyik menyebut "tak mampu berlari" juga akhirnya sampai ke tempat yang dijanjikan. Memang excited mereka setelah mula melihat tanglung yang menghiasi kawasan perkarangan depan kompleks tokong.


Kami berkumpul di perkarangan depan Kompleks Tokong Jade Dragon bagi menikmati sarapan yang kami bawa dari sekolah, iaitu bubur nasi ayam dan minuman nescafe. Memang menyelerakan setelah menempuh perjalanan sejauh 6km! He3.. Lucu melihat ragam pelajar yang asyik menambah makanan, mungkin akibat kelaparan kerana berlari tadi.



Selesai menikmati sarapan, kami berkumpul di pintu masuk gerbang utama ke kompleks tokong tersebut. Sedikit taklimat mengenai adab-adab memasuki rumah ibadat diterangkan kepada para pelajar bagi mengelakkan sebarang permasalahan yang mungkin boleh timbul.









Seterusnya acara kemuncak iaitu memulakan perjalanan "lawatan sambil bersukan" di dalam kompleks tokong Jade Dragon itu. Kawasan kompleks seluas 6.5 hektar dan menelan kos belanja sehingga RM 60 juta itu menempatkan beberapa tempat penyembahan untuk penganut agama Buddha, Taoism dan juga Confucianisme.







 
Tanpa kami duga, pada hari "lawatan sambil bersukan kami" ini juga, pihak kompleks tokong ini sedang meraikan Hari Kelahiran Dewi Kuan Yin. Jadi sebagai tetamu pada hari tersebut, para pelajar yang tidak beragama Islam telah diberi makanan vegetarian percuma oleh pihak kantin di sana. 

Manakala bagi yang beragama Islam, kami juga turut berada di sana bagi menghormati pelawaan mereka. Sebagai tanda kenang-kenangan, sempat kami bergambar dengan pihak pengurusan kompleks yang berbaik hati untuk "menaja" makanan untuk pelajar pada hari ini.. ;)





Lawatan kami tamat pada jam 11.00 pagi. Oleh kerana ramai pelajar yang sudah kepenatan, setelah berlari 6km + 2km perjalanan dalam kompleks tokong, maka perjalanan pulang pelajar ke sekolah adalah dengan menaiki bas!

Walau bagaimanapun, setelah penat lelah diharungi bersama pada hari ini, namun ternyata semuanya adalah berbaloi! Pengalaman seperti ini dah tentu merupakan pengalaman yang jarang-jarang sekali diperolehi bagi saya dan semua pemain sofbol saya. Kenangan yang hebat buat kami semua untuk dikongsi bersama-sama.



Saya gembira dan bersyukur kerana perjalanan berjalan lancar seperti yang dirancangkan, tanpa sebarang masalah. Semoga ada rezeki lagi untuk mengadakan lawatan sambil bersukan ke destinasi lain yang lebih jauh dan menarik!! ;)


Catat Ulasan

3 Ulasan

  1. bestnyer tempat tu, cam cantek jer, pernah thn lepas pegi Dong Zhen temple dekat Jenjarom, view mmg cantek mcm dekat china..hehe

    BalasPadam
  2. emma...rajinnya coach...masih lg ada masa utk semua itu
    itulah kelebihan bila solo lg..

    ore sibuk ngan famili...
    kalu gini..kena gi skali sampai ke MSSM..mesti bole beri komitmen 200%..

    BalasPadam