Dalam ucaptamanya pada Forum Pendidikan Dunia 2014 di sini, semalam, Timbalan Perdana Menteri berkata, ia penting untuk melahirkan insan sahsiah dan berketerampilan.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan berkata, beliau percaya ketamadunan dan pembangunan kemanusiaan yang bersandarkan nilai itu akan mempengaruhi pemikiran dan keputusan dibuat manusia.
“Peranan agama dan pendidikan agama tidak boleh diketepikan daripada sistem pendidikan kita.
“Menidakkan nilai, etika dan kerohanian tidak lagi boleh diterima kerana lebih 5 bilion penduduk dunia mengamalkan agama masing-masing.
“Falsafah pendidikan Malaysia juga dibina atas nilai itu. Kejayaan dan pengalaman Malaysia sebagai negara berbilang agama dan budaya boleh digunakan untuk menyeimbangi kesan pendidikan sekular,” katanya.
Forum pendidikan terbesar tahunan itu dihadiri 114 menteri pendidikan dari seluruh dunia.
“Dalam aspek itu, perlu juga ada kaedah baru untuk mengukur prestasi pendidikan (negara), selain penanda aras konvensional seperti Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Pentaksiran Murid Antarabangsa (PISA).
“Ini sesuai dengan nilai Timur yang melihat ‘pembelajaran adalah mengenai kehidupan dan bukan mengenai memilikinya’ seperti sekarang,” katanya.
Muhyiddin berkata, walaupun banyak kemajuan dicapai dalam isu akses kepada pendidikan sejak 2000, 57 juta kanak-kanak masih tidak bersekolah, manakala dua pertiga daripada buta huruf dewasa adalah wanita.
Dasar lebih adil
“Dasar dan strategi pendidikan mesti adil dan inklusif supaya ia menyediakan ruang saksama untuk semua kanak-kanak di semua peringkat menimba ilmu.
“Dalam konteks keadilan gender, perlu ada perhatian khusus berhubung akses pendidikan untuk wanita dan kanak-kanak perempuan,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri juga menekankan kepentingan pendidikan untuk pembangunan mapan (ESD) dalam melaksanakan agenda global untuk masa depan.
Katanya, transformasi dalam aspek ini memerlukan integrasi antara keperluan tradisi dan persekitaran baru bagi memastikan masyarakat pada masa depan terus menikmati kualiti hidup yang baik.
Muhyiddin berkata, atas kesedaran itu juga, Malaysia merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang menyediakan rancangan komprehensif bagi masa depannya.
“Kita mahu rakyat Malaysia yang melalui sistem pendidikan mempunyai semua nilai diperlukan untuk menjadi masyarakat global.
Malaysia menekankan pendidikan Islam dan moral, menggalakkan sekolah mengambil bahagian dalam projek atau aktiviti dengan sekolah rakan dari negara lain.
“Kami juga menggalakkan usaha sama antara universiti kita dengan universiti antarabangsa yang mempunyai cawangan di Malaysia, pada peringkat kakitangan dan pelajar,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, meningkatkan kesedaran pelajar mengenai cabaran dihadapi manusia di seluruh dunia akan menjadi komponen penting pendidikan.
Sumber
1 Ulasan
hmmm lama tak dengar perkataan 'pendidikan sekular'... ehehe..
BalasPadam*no komen*