About Me

Anugerah Teacher of the Year 2014

Di US, bagi menghargai jasa dan kesungguhan cikgu-cikgu, satu anugerah telah diwujudkan sejak tahun 1952, iaitu Anugerah "Teacher of the Year". Ini berbeza dengan situasi di Malaysia, di mana anugerah Tokoh Guru adalah dengan memberi pengiktirafan kepada guru / bekas guru yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan pendidikan di Malaysia. 

Anugerah Teacher of the Year 2014

Tetapi anugerah "Teacher of the Year" ini adalah lebih kepada penghargaan kepada guru yang sedang bersungguh-sungguh mengajar dengan segala teknik dan kaedah bagi menarik minat kepada pelajar. Dikenalpasti di peringkat negeri dan kemudiannya dicalonkan bagi peringkat negara, maka pemilihan guru terbaik ini juga adalah berdasarkan kepada tahap kualiti yang tinggi.

Betapa besarnya anugerah ini hinggakan Presiden US sendiri yang menyampaikan anugerah kepada guru yang telah dipilih sebagai "Teacher of the Year" setiap tahun. Mesti bangga kan?


Bukan setakat itu saja, "Teacher of the Year" ini juga perlu selari dengan beberapa panduan bagi pemilihan guru terbaik ini. Antaranya adalah:

1) berkebolehan untuk menjadi inspirasi kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang
2) disegani rakan sekerja, pelajar dan ibubapa
3) aktif menyertai komuniti dan masyarakat
4) mampu untuk menjalankan tugas selepas menerima anugerah

Ini kerana guru yang terpilih akan diberi cuti selama setahun dan dibawa menjelajah ke seluruh US bagi memberi inspirasi dan tunjuk ajar kepada golongan pendidik di negara tersebut.


Pada tahun ini, 2014 Sean McComb, seorang guru Bahasa Inggeris dari Patapsco High School telah dipilih sebagai "Teacher of the Year" atas kecemerlangannya dalam penilaian semasa di dalam kelas.

Kita tengok sedikit video profil mengenai Cikgu Sean McComb.




Ini pula video pengajaran beliau semasa sesi penilaian sebagai "Teacher of the Year". Boleh tengok bagaimana cara beliau membimbing pelajarnya dalam sesi pdp menganalisa petikan ucapan.




Secara peribadi saya merasakan pengiktirafan sebegini sebenarnya mampu mengangkat martabat guru ke tahap yang lebih tinggi. Malah dengan adanya anugerah sebegini, para guru akan lebih bersemangat untuk mengajar dengan lebih baik dan lebih kreatif kerana ada objektif yang mahu dicapai.

"Perlumbaan" sihat seperti ini juga mampu memberi kesan positif kepada anak murid. Ini lah masa untuk menghargai kesungguhan guru muda yang mampu menunjukkan prestasi luar biasa semasa di dalam bilik darjah. 

Beri pengiktirafan ketika mereka betul-betul berada di kemuncak prestasi mereka. InshaAllah ini boleh jadi motivasi dan inspirasi kepada mereka yang lain juga.


Catat Ulasan

0 Ulasan