Tambah mengkagumkan saya, usaha dan kos perjalanan ke sekolah saya ini semuanya ditanggung oleh guru-guru yang hadir. Saya pasti, tak sedikit kos yang mereka keluarkan untuk beberapa hari di Kedah. Tahniah untuk usaha dan komitmen yang tinggi bagi sebuah perkongsian.
Sesi perkongsian peer coaching berjalan dengan lancar di makmal sekolah. Tajuk yang saya pilih untuk perkongsian ini adalah berkaitan dengan inersia. Masa pdp adalah selama 40 minit, bagi kelas 5 Arif dengan seramai 20 orang murid.
Sesi dimulakan dengan set induksi aktiviti ringkas, cabaran menarik kertas secepat mungkin di atas sebuah gelas. Di atas kertas tersebut diletakkan duit syiling 50 sen. Pelajar perlu memasukkan syiling tersebut ke dalam gelas, melalui gerakan kertas tersebut.
Aktiviti meriah dengan cubaan demi cubaan pelajar. Selesai semua pelajar berjaya melakukan tugasan, saya minta pelajar senaraikan lagi beberapa perkara yang hampir sama situasinya dengan kes menarik kertas tadi.
Jawapan pelajar kemudiannya disalurkan kepada topik pembelajaran pada hari ini, iaitu inersia.
Seterusnya pelajar berada dalam kumpulan yang terdiri daripada 4 orang dan bergerak ke stesyen mereka masing-masing. Dalam kumpulan pelajar akan menghasilkan lukisan mengenai situasi yang mereka pilih, dan berkaitan dengan inersia.
Kemudian mereka akan membentangkan kepada rakan-rakan mereka yang lain mengenai inersia yang mereka kongsikan. Sesi pembentangan ditambah meriah lagi dengan sesi penyoalan daripada rakan-rakan mereka.
Kemudian bagi mengukuhkan lagi pemahaman murid, saya tayangkan video mengenai impak daripada perlanggaran kereta dan langkah keselamatan yang perlu ada pada kereta tersebut. Pelajar dalam kumpulan dibekalkan dengan helaian kerja mengenai ciri-ciri keselamatan kereta yang perlu ada.
Sesi pdpc tamat dengan rumusan pembelajaran yang dibuat oleh pelajar. Saya gunakan teknik penyoalan berkesan bagi membimbing pelajar membuat rumusan. Alhamdulillah, objektif pembelajaran tercapai.
Tambah meriah, apabila Cikgu Jamilah tampil membuat kuiz pendek bagi menguji pemahaman pelajar mengenai tajuk yang diajar pada hari ini. Terima kasih Cikgu Jamilah untuk hadiah saguhati kepada anak pelajar 5 Arif!
Dari sana, kami bergerak ke Bilik Mesyuarat bagi sesi perbincangan. Untuk sesi ini, saya mulakan dengan pembentangan kajian impak pelaksanaan pembelajaran abad 21, sama seperti yang saya bentangkan di Kuantan pada hujung Februari.
Beberapa soalan dan juga maklumbalas diterima sepanjang perkongsian selama 1 jam di sini. Perkongsian saya rasa berjaya mencapai matlamat dan tujuan.
Secara jujurnya saya rasa sangat terharu dan gembira dengan usaha daripada kumpulan guru sains SMK Sultan Abdul Aziz Shah yang sanggup datang dari jauh, demi sebuah perkongsian. Semoga juga apa yang saya kongsikan memberi banyak manfaat kepada mereka, dan juga kepada diri saya sendiri!
Buat kumpulan guru SMK Sultan Abdul Aziz Shah, saya doakan selamat maju jaya!
0 Ulasan